mutakhir

Maut langgar tiang elektrik

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LELAKI berusia 32 tahun maut apabila kereta dipandu merempuh tiang elektrik di Jalan Salak-Nilai, berhampiran Sekolah Kebangsaan Dato Abdul Manaf, Nilai, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa, B Gomathan parah di kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa memandu Perodua Myvi bersendirian dari arah Salak Tinggi menuju Nilai.

Sebaik tiba di lokasi katanya, kenderaan dipandu terbabas lalu melanggar tiang elektrik di bahu jalan bertentangan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di lokasi serta-merta dan mengalami pendarahan yang banyak di kepala,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, pihaknya yang menerima panggilan orang awam mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi dan membawa mayat ke Hospital Ja’afar (HTJ), Seremban untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 11:20am
d