mutakhir

Tangisan rakan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LULUH hati seorang rakan apabila melihat rakan sekerjanya melambung dirempuh kenderaan sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di Persiaran Tujuan, Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi itu, kedua-dua individu berkenaan yang juga pekerja pembersihan di sebuah sekolah sedang melintas jalan untuk ke tempat kerja.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, ketika sedang melintas jalan datang sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti merempuh wanita berkenaan.

“Mangsa berusia 60 tahun dirempuh sebelum tercampak kira-kira satu meter sebelum kenderaan berkenaan melarikan diri.

“Rakan mangsa yang berada di lokasi sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Azlin berkata, kedua-dua mangsa adalah pekerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 14.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan kaki.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Ratnacristinavany Kanagaratnam atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2019 @ 5:52pm
d