mutakhir

PDRM siasat anggota merokok dalam restoran

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas anggotanya yang didapati memegang puntung rokok dan dipercayai turut merokok dalam premis makanan, selepas lokasi premis dan identitinya dapat dikenal pasti.

Anggota berkenaan yang lengkap beruniform dilihat memegang rokok itu dan dipercayai merokok dalam premis yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sebelum tindakannya dirakam orang awam dan tular dalam media sosial, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Jelas anggota itu beruniform dan kerajaan sudah menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan. Tanda amaran dan larangan yang dipamer perlu dipatuhi semua pihak terutamanya mereka yang beruniform.

“Perbuatan ini amat tidak beretika dan kita tahu tidak boleh merokok di tempat sebegitu sekarang ini,” ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bersama Ketua-ketua JPJKK di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan larangan itu baru dikuat kuasa di Semenanjung, beliau akan melihat terlebih dahulu lokasi berlakunya kejadian berkenaan.

“Larangan ini dikuat kuasa di Semenanjung, tetapi Sabah dan Sarawak belum. Jadi, gambar itu kena lihat adakah berlaku di Semenanjung atau bukan. Saya sudah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk kenal pasti anggota dan akan buat tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi lapan saat menunjukkan anggota polis yang sedang duduk di ruang makan premis makanan bersama anggota lain memegang sesuatu dipercayai puntung rokok di tangan kanannya.

Gaya anggota berkenaan menunjukkan dia dipercayai merokok dalam premis itu dengan tanda larangan merokok jelas dipamerkan di dinding premis makanan berkenaan.

Lokasi kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Semenanjung berikutan larangan berkenaan baharu dikuat kuasakan di kawasan Semenanjung Malaysia.

Disiarkan pada: January 28, 2019 @ 1:11pm
d