itmetro

Teknologi dron dipertingkat

Oleh Muhammad Saufi Hassan

JIKA sedekad lalu, penggunaan pesawat tanpa juruterbang atau dron boleh dianggap mustahil untuk melaksanakan tugas harian dalam bidang pertanian mahupun mengambil gambar daripada sudut atas.

Kebanyakan tugas dron ketika itu berkait rapat dengan keselamatan dan ia hanya hak eksklusif untuk tentera tapi itu pun membabitkan dron penggempur yang dilengkapi misil dan peluru berpandu.

Bagaimanapun, seiring perubahan teknologi yang semakin pantas, dron digunakan hampir di semua sektor terutama bidang pertanian kerana ia pesawat pintar yang boleh melaksanakan tugas selepas diprogramkan menerusi komputer.

Peneraju industri dron dunia, DJI tidak pernah ketinggalan untuk menghasilkan pelbagai teknologi sama ada membabitkan segmen pengguna biasa ataupun untuk kegunaan industri skala besar.

Syarikat itu juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam sektor pemantauan keselamatan, pertanian skala besar dan beberapa lagi pembabitan untuk kegunaan industri.

Pengurus Kanan Komunikasi DJI, Monica Suk berkata, DJI mula memperkenalkan dron untuk kegunaan industri pada 2017 iaitu menerusi model siri Matrice 200.

Beliau berkata, model itu menepati kriteria kepenggunaan profesional seperti bidang pembinaan, pertanian, pemeriksaan, tenaga dan keselamatan awam.

“Kami melihat lima kunci penting iaitu keselamatan awam, pembinaan, infrastruktur, tenaga dan bidang pertanian. Dron milik DJI juga sangat bersesuaian untuk kegunaan industri dan ia dilengkapi dengan perisian penerbangan seperti FlightHub.

“Kami percaya dengan inovasi yang dilaksanakan, DJI memperkasakan kaedah generasi baru dengan membolehkan perindustrian menggunakan teknologi ini untuk kepentingan bersama serta mengharmonikan sektor berkaitan.

“DJI sentiasa mengutamakan teknologi dalam setiap dron keluaran kami dan untuk jangka panjang, kami akan memberi fokus kepada pembangunan perisian serta perkakasan supaya teknologi dron ini dapat diperluaskan,” katanya dalam satu temu bual khas bersama IT@Metro, baru-baru ini.

Monica berkata, pihaknya melihat pengguna mahu melihat penciptaan dron yang lebih kecil daripada aspek saiz namun tidak mengabaikan teknologi serta kualiti binaan.

Katanya, bagi merealisasikan tujuan serta objektif itu, aspek integrasi dan algoritma memainkan peranan yang sangat penting dan DJI sentiasa memberi fokus kepada penyelidikan serta pembangunan (R&D).

“Untuk masa akan datang, kami akan cuba memaksimumkan keupayaan dron itu sendiri daripada kedua-dua aspek iaitu pembangunan perisian komputer dan perkakasan yang lebih baik.

“Pembelajaran komputer juga akan meningkatkan sistem autonomi penerbangan, meningkatkan kawalan isyarat dan membolehkan dron lebih memahami persekitarannya dalam bentuk tiga dimensi.

“Kami juga sedar berhubung prosedur pihak berkuasa terhadap penggunaan dron dan DJI sentiasa bekerjasama erat dengan pembuat dasar supaya setiap model keluaran kami menepati undang-undang,” katanya.

Menurutnya, ia juga penting supaya semua pihak dapat menikmati faedah dron daripada semua aspek tanpa mengabaikan keselamatan serta keselamatan peribadi.

Disiarkan pada: February 7, 2019 @ 11:42am
d