mutakhir

[UPDATE] Wanita tipu laporan polis direman empat hari

Oleh Shamsul Munir Safini

PENGURUS sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung laporan polis palsu kononnya wang RM35,000 milik syarikat tempat kerjanya disamun.

Wanita terbabit direman mulai hari ini hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Wanita itu diberkas polis kelmarin selepas dia membuat laporan polis palsu kononnya wang RM35,000 milik syarikat tempat kerjanya disamun sedangkan dia sendiri menghabiskannya untuk berjudi dan membuat persiapan Tahun Baru Cina.

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kejadian jam 2.52 petang kelmarin, wanita itu membuat laporan polis palsu di Balai Polis Bukit Tengah konon wang milik syarikatnya RM35,000 disamun lelaki bertopi keledar ketika keluar dari stesen minyak itu di Sungai Rambai, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dilaporkan berkata, hasil siasatan, pihaknya berjaya mengesan penipuan wanita itu selepas meneliti lokasi kejadian dan keterangannya yang tidak tepat.

Katanya, suspek akhirnya mengaku terpaksa membuat laporan polis palsu kononnya disamun kerana dia sudah membelanjakan RM16,100 untuk bermain judi dan membuat persiapan Tahun Baru Cina.

Nik Ros Azhan berkata, suspek sudah 15 tahun bekerja di situ, dan diamanahkan untuk menjaga wang jualan RM35,000 di stesen minyak berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati suspek menyimpan baki wang berjumlah RM18,900 di stesen minyak berkenaan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Berjudi dan raya sakan rupanya...

Lesap RM35,000 diragut

Disiarkan pada: February 14, 2019 @ 10:16pm
d