mutakhir

Beri peluang OKU pendengaran belajar al-Quran

Oleh Mohamad Hussin

“SAYA nak anak pandai membaca dan menghafaz Al-Quran sebab itu saya belajar bahasa isyarat.

“Pada mulanya memang sukar untuk belajar tetapi lama kelamaan sudah lancar dan tidak kekok kerana selalu buat latihan,” kata warga emas, Zaharah Hamdan, 62, yang mengikuti kelas bahasa isyarat untuk orang normal sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, dia mula mengikuti kelas bahasa isyarat sebagai asas untuk berkomunikasi dengan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran sejak dilahirkan.

“Anak saya, Johari Abdul Wahab, 32, tidak berkesempatan untuk belajar al-Quran. Saya mengambil inisiatif mengikuti kelas ini kerana tidak mahu anak saya terlepas belajar mendalami al-Quran.

“Apabila saya mengetahui Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat (OKU BERDAYA) ada mengadakan kelas bahasa isyarat dan al-Quran untuk orang normal, saya dan suami terus memohon untuk mengikutinya,” katanya yang ditemui di OKU BERDAYA, di Bangi, hari ini.

Zaharah berkata, dia istiqamah dalam mendalami bahasa isyarat kerana percaya Allah SWT akan membantu hambanya yang mahu menuntut ilmu.

Peserta lain, Muhammad Sirril Asrar, 20, berkata, dia belajar bahasa isyarat kerana mahu mengajar mereka terutama OKU cacat pendengaran belajar mendalami al-Quran.

“Tujuan saya datang bersama-sama ibu dan ayah saya kerana mahu mendalami dengan lebih dekat huruf dalam bahasa isyarat.

“Dalam keluarga kami bukannya ada OKU cacat pendengaran tetapi niat kami hanya nak membantu mereka di luar sana yang tidak berpeluang belajar al-Quran.

“Setiap peserta akan diberi latihan mengenali huruf sebelum membaca al-Quran. Buat masa ini, kami diberi latihan mengenali abjad dan nombor dalam bahasa isyarat sebelum melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi OKU BERDAYA Syed Mohamad Abdullah berkata, kelas bahasa isyarat dan al-Quran diadakan setiap bulan iaitu pada minggu pertama dan ketiga, memberi peluang kepada orang normal mendalami bahasa berkenaan.

Beliau berkata, kelas yang ditubuhkan sejak Januari 2017 itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana diadakan secara percuma selain dapat mendalami al-Quran menggunakan bahasa isyarat.

“Setakat ini, terdapat lebih 30 peserta yang mengikuti kelas ini. Kita akan mengajar mereka sampai pandai berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan membaca al-Quran. Biasanya, seseorang itu berjaya dan lancar menggunakan bahasa isyarat sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun.

“OKU BERDAYA mendapat dana melalui sumbangan orang ramai selain membuka gerai amal di pasar malam dan pasar tani. Kita merayu kepada mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi kami menerusi Facebook Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 12:33pm
d