mutakhir

Cemas bas sekolah terbakar [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TINDAKAN pantas pemandu bas sekolah memberhentikan kenderaan selepas mendapati bas itu terbakar di Plaza Tol Lebuhraya Senai-Desaru (arah Senai) di Kulai, berjaya menyelamatkan 38 murid sekolah, pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi sebelum sepasukan enam anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Apabila tiba, kami dapati seramai 39 individu terdiri daripada 20 murid lelaki, 18 murid perempuan dan seorang pemandu lelaki berjaya menyelamatkan diri dari bas yang terbakar itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bomba berjaya memadamkan api dalam tempoh kurang sejam dan menamatkan operasi pada jam 8.38 pagi.

“Kami masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian namun apa yang penting, semua murid sekolah dan pemandu bas selamat dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu tular rakaman video 20 saat menunjukkan kebakaran bas sekolah berdekatan sebuah plaza tol.

Video itu merakamkan asap hitam keluar dari bas berkenaan, namun keadaan lalu-lintas berjalan seperti biasa.

Difahamkan, bas berkenaan dari Kulai dan dalam perjalanan ke sebuah sekolah swasta di pusat bandar raya sebelum berhenti berikutan kebakaran itu.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 11:58am
d