hati

Belai tubuh guna kopi

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KESIBUKAN tugas ditambah dengan hiruk-pikuk kesesakan kota sering membuat tubuh keletihan. Apatah lagi memegang status ibu berkerjaya, tidak mustahil berdepan stres hingga menjejaskan kesihatan.

Keadaan stres ini akan membuatkan tubuh semakin tegang dan ini perlu dimanjakan dengan rawatan spa. Namun, spa yang dipilih perlu disesuaikan dengan keperluan tubuh memandangkan terdapat pelbagai jenis spa yang ditawarkan.

Rawatan spa menggunakan kopi antara pilihan sesuai untuk membuat tubuh relaks dan pada masa sama menghaluskan kulit selain mengembalikan kesegaran tubuh.

Kopi bukan hanya enak dinikmati sebagai minuman, malah serbuk kopi boleh diolah bersama gabungan bahan lain dan dijadikan lulur yang dikatakan bermanfaat untuk menanggalkan sel kulit mati.

Lulur kopi bersama gabungan bahan lain yang dioleskan pada permukaan kulit dibiarkan selama beberapa ketika hingga kering dan kemudian dibilas bersih. Proses membiarkan selama beberapa waktu itu membolehkan bahan aktif dalam lulur meresap ke dalam kulit.

Pelbagai bahan semula jadi boleh digunakan sebagai lulur, mulai daripada buah, sayur, hingga biji-bijian termasuk kopi. Selain aromanya yang menenangkan, biji kopi adalah bahan yang kaya dengan antioksida semula jadi iaitu kuinin yang menjadi makin aktif selepas dipanggang.

Antara sifat kafein yang menjadikannya bahan yang mampu mengurangkan masalah selulit pada tubuh adalah ia bersifat diuretik. Ia membantu menyingkirkan lebihan air daripada badan, seterusnya mengurangkan masalah sembap yang sering dikaitkan dengan selulit dan memberi penampilan lebih langsing.

Walaupun manfaat kopi yang dioleskan pada kulit sebagai lulur belum terbukti, apa yang pasti kandu­ngan antioksidanya sangat diperlukan kulit untuk menghalang radikal bebas supaya tetap awet muda.

Daripada luar tubuh, radikal bebas daripada asap rokok, pencemaran udara dan radiasi menyebabkan penuaan kulit lebih cepat. Perkara itu diakui pemilik pusat kecantikan dan spa Maibeaute, Maimon Mohamed Amin terhadap manfaat kopi pada kecantikan kulit.

Katanya, perawatan kopi menerusi pakej Mai Karisma disediakan di pusat rawatan di Taman Permata, Kuala Lumpur dan beberapa cawangan sekitar Johor itu cukup lengkap dimulakan dengan sauna kopi, lulur, pupur, mandi susu dan madu, losen pemutihan dan diakhiri minuman campuran halia dan madu untuk kesegaran tubuh.

Sauna kopi yang me­ngambil masa 20 hingga 25 minit memberi manfaat buat tubuh supaya lebih relaks dan menghilangkan tekanan. Rawatan kemudian dimulakan dengan lulur yang mana terapis akan menyental seluruh badan menggunakan campuran kopi.

“Lulur kopi bukan saja dapat membersihkan kulit dengan membuang sel kulit mati, menjadikannya lebih sihat dan lembut, malah ia juga dikatakan mampu memperbaiki peredaran darah serta membantu memperbaiki beberapa masalah kulit, menghilangkan bau badan dan daki.

“Rawatan disusuli dengan pupur kopi dan diratakan pada seluruh badan hingga kering sebelum dibilas. Ketika tempoh ini khasiat kopi diserap oleh kulit menjadikan kulit lembut dan segar.

“Proses diteruskan de­ngan mandian susu dan madu bagi menambah kesegaran badan dan membuat pelanggan berasa lebih tenang dan segar,” katanya.

Langkah seterusnya adalah aplikasi losen khas untuk melembap dan melembutkan kulit sebelum dihidangkan dengan minuman halia yang dicampur madu untuk membuang

angin dan menyegarkan badan.

Menurut Maimon, perawatan spa dengan kopi diakui banyak manfaatnya, malah ia selamat kerana menggunakan bahan semula jadi.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 6:00am
d