mutakhir

Kerajaan Pusat berhak kemuka nota bantahan

Oleh Mary Victoria Dass

KERAJAAN Pusat berhak mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada Singapura sekiranya aset negara berkenaan didapati menceroboh perairan negara ini atau mengganggu aktiviti perikanan nelayan tempatan walaupun rundingan isu persempadanan masih belum selesai.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, agensi penguatkuasaan maritim negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) diarahkan untuk kekal mengatur gerak aset (show of presence) berdasarkan Rules of Engagement (RoE) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 Disember 2018 di kawasan perbatasan maritim Malaysia.

Beliau berkata, ia termasuk di had pelabuhan Johor Bahru walaupun rundingan dengan Singapura sedang dilaksanakan bagi membincangkan isu persempadanan kedua-dua negara.

Menurutnya, sekiranya terdapat aktiviti yang dilaksanakan oleh Singapura di luar kawasan maritim dalam jarak radius 500 meter dari Batu Puteh, ia harus dibantah kerana persempadanan belum dilaksanakan.

Katanya, bagi nelayan tempatan, mereka turut digalakkan untuk menjalankan aktiviti perikanan dalam kawasan perairan negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979 termasuk di sekitar perairan Batuan Tengah.

“Wakaf nelayan turut disediakan oleh kerajaan di Pos Maritim Batuan Tengah yang juga dikenali sebagai Abu Bakar Maritime Base untuk persinggahan nelayan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Abd Taib bin Abu Bakar (BN-Machap)

pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.

Sementara itu, Osman juga menyifatkan usaha menyelesaikan isu persempadanan perairan dan ruang udara negara ini dan Singapura sesuatu yang rumit namun harus dilaksanakan secara berhati-hati.

Beliau berkata, isu berkenaan bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak yang mana pihaknya bersikap bijaksana dalam menyelesaikan pertikaian timbul.

Menurutnya, kerajaan Johor menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menyelesaikan pertikaian antara Malaysia dan Singapura membabitkan sempadan ruang udara dan maritim akan diselesaikan berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

Katanya, ia berikutan pertikaian antara negara banyak berlaku kerana ada pihak yang mendakwa mengenai sempadan masing-masing. Di mana mereka berterusan mencetuskan pelbagai pertikaian lain.

“Bagi menyelesaikan hal ini, berlangsung pertemuan dan perbincangan dua hala Menteri Luar Negara dan Singapura pada 8 Januari 2019 di Singapura.

“Kedua-dua negara bersetuju supaya isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura dibincangkan menerusi satu kumpulan kerja yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Wisma Putra dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri Singapura.

“Kumpulan kerja ini diberi mandat untuk memperhalusi aspek perundangan serta operasi bagi mengurangkan ketegangan di kawasan perairan termasuk had pelabuhan antara kedua-dua negara dan menyediakan asas untuk perbincangan lanjut.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan hubungan akrab di antara Johor dan Singapura. Pelbagai perkara berbangkit yang sedang dihadapi oleh Malaysia dan Singapura, kini hakikatnya hanya sekelumit daripada asam garam hubungan antara dua negara berjiran,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 2:02pm
d