arena

Liverpool menang... City tak senang

Oleh Esme Johari Wahab

DUA jaringan Roberto Firmino dan Sadio Mane pada setiap babak memastikan Liverpool terus memberi tekanan kepada Manchester City selepas menewaskan Burnley 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, malam ini.

Biarpun Ashley Westwood meletakkan Burnley di depan namun Liverpool menyamakan kedudukan menerusi tolakan masuk Firmino m-19.

Liverpool mendahului ketika perlawanan masuk setengah jam apabila sepakan lencong Mane menerjah jaring lawan (29’).

Skuad Jurgen Klopp meraih gol ketiga m-67 akibat kesilapan penjaga gol Burnley, Tom Heaton melakukan sepakan lemah kepada Mohamed Salah.

Penyerang Mesir itu melarikan bola ke dalam kotak penalti tetapi terjatuh selepas dicabar pemain lawan.

Bagaimanapun, belum pun sempat pemain pertahanan Burnley menyelamatkan keadaan Firmino lebih cepat menyambar bola menyepak masuk ke dalam gol.

Berg Gudmundsson merapatkan kedudukan untuk Burnley pada penghujung perlawanan sebelum Mane menyumbat gol keempat Liverpool pada masa kecederaan.

Keputusan itu meletakkan Liverpool terus mengekori City selaku pendahulu EPL dengan 74-73 mata selepas 30 perlawanan musim ini.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini, Arsenal akan berdepan Manchester United untuk perebutan tangga keempat.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 9:58pm
d