mutakhir

Tak lokek kongsi ilmu dengan rakan

Oleh Amir Abd Hamid

TIDUR lima jam, hafazan Al-Quran empat jam dan belajar empat jam.

Itu pengorbanan masa diperuntukkan pelajar cemerlang Muhammad Fitri Naim, 17, dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) setiap hari, yang mendapat 11A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hari ini.

Hasil beristiqamah, anak ketiga daripada lima beradik itu berjaya memperoleh Cemerlang Tertinggi atau A+ dalam subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Selain itu, dia yang baru dinobatkan johan majlis menghafaz al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan Wilayah bagi kategori satu hingga 20 juz pada 15 Februari lalu turut Cemerlang Tinggi atau A dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan.

“Saya gemar buat persediaan awal terutamanya untuk kuasai subjek yang susah.

“Memang saya memerlukan masa panjang untuk membaca buku bagi membolehkan saya saya memahaminya, jika tidak faham, saya segera tanya guru atau rakan lain.

“Saya juga amalkan latih tubi dan banyak berkongsi ilmu dengan rakan lain. Mengenai hafazan al-Quran pula saya bermula di tingkatan satu dan tamat 30 juz semasa tingkatan tiga,” katanya.

Muhammad Fitri berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman SPM 2018 Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMAM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Sekolah berkenaan ialah SMA-MAIWP Kuala Lumpur, SMISTA, SMA-MAIWP Labuan dan Pondok Moden Al-Abaqirah (PMA).

Muhammad Fitri yang bercita-cita menjadi pensyarah dan gemar bermain ping pong itu ketika ini dilantik sebagai imam di Surau Taman Sri Hartamas sementara menunggu untuk melanjutkan pengajian.

Bapanya, Roslan Abd Razak, 54, yang bekerja Pembantu Penerbitan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) berkata, dia dan isteri Siti Eshah Binti Sahir, 52, guru di Tadika Islam MAIWP sentiasa menyokong hasrat anaknya itu sejak kecil yang mahu menjadi pendakwah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, seramai 323 calon institusi itu menduduki SPM 2018.

“Daripada jumlah itu, empat pelajar SMA-MAIWP Kuala Lumpur memperoleh 11A; 10A (1) dan 13 calon mendapat 9A.

“Sementara di SMISTA, tiga pelajar mendapat semua 11A, tiga 10A dan empat pelajar memperoleh 9A.

“Dua pelajar PMA pula mendapat semua A dalam lapan subjek diambil, 22 pelajar 7A dan 13 pelajarnya mendapat 6A,” katanya dalam ucapan pengumuman keputusan itu.

Beliau berkata, sekolah SMA-MAIWP Labuan turut mencatat sejarah apabila buat kali pertama sejak 2015 pelajarnya yang mendapat 10A.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 4:28pm
d