global

Wanita biar hamba kanak-kanak mati kehausan

Oleh AFP

BERLIN: Seorang wanita Jerman yang menyertai kumpulan militan Daish dibicarakan hari ini kerana membiarkan hamba kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mati kehausan.

Peguam hak asasi manusia terkenal, Amal Clooney sebahagian daripada pasukan yang mewakili ibu mangsa yang adalah orang Yazidi.

Defendan, Jennifer W, 27, berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah melakukan jenayah peperangan, membunuh, menyertai organisasi pengganas dan kesalahan senjata.

AFP melaporkan, suami Jennifer, Taha Sabah Noori Al-J yang juga militan Daish membeli mangsa dan ibunya untuk dijadikan hamba ketika tinggal di Mosul, Iraq pada 2015.

Difahamkan mangsa terkencing di tilam ketika demam dan Taha merantai kanak-kanak itu di luar rumah sebagai hukuman.

Mangsa dibiarkan mati kehausan di bawah cuaca panas.

Pendakwa Jerman mendapati Jennifer membenarkan suaminya melakukan perbuatan itu, malah tidak mencuba untuk menyelamatkan mangsa.

Media tempatan melaporkan Taha turut memukul mangsa dan ibunya, malah Jennifer didakwa pernah mengacu pistol ke kepala wanita itu.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 3:49pm
d