bisnes

Sasar peningkatan 5%

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

RAPID Bus Sdn Bhd optimis dapat mencapai 100 peratus transaksi tanpa tunai di semua perkhidmatannya akhir Mei ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, pihaknya juga menyasarkan peningkatan lima peratus daripada 400,000 penumpang sehari bagi tahun ini.

Katanya, ini disokong dengan pengenalan sistem pembayaran tanpa tunai terbabit yang mula dilaksanakan hari ini (semalam).

“Kami komited memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan melalui transaksi tanpa tunai ia bukan saja menjimatkan masa, malah memudahkan pergerakan penumpang.

“Penumpang hanya perlu menggunakan kad Touch ‘N Go mereka untuk membuat pembayaran dan ia menjimatkan kira-kira 15 peratus kos perjalanan mereka,” katanya sempena lawatan media di program tanpa tunai Rapid Bus, semalam.

Muhammad Yazurin berkata, penumpang juga dapat menikmati diskaun sebanyak 20 peratus daripada tambang biasa jika menggunakan kad tanpa tunai.

Menurutnya, setiap penumpang akan mengambil masa enam saat dalam bas untuk kaedah pembayaran konvensional, manakala sistem tanpa tunai menjimatkan kira-kira lima saat bagi pembayaran.

Sementara itu, beliau berkata bagi pemegang kad konsesi iaitu pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), mereka boleh menikmati diskaun sebanyak 50 peratus.

Penumpang juga boleh mendapatkan pas tanpa had iaitu MY100 (rel dan BRT) atau MY50 (bas) yang boleh diaktifkan melalui MyKad atau MyTentera dengan fungsi yang sama seperti Touch ‘N Go.

MY100 terdiri daripada 30 hari perjalanan tanpa had untuk LRT, monorel, MRT dan Bas Rapid Transit (BRT), manakala MY50 terpakai untuk semua Rapid KL dan bas pengantara untuk MRT, kecuali BRT.

Rapid Bus adalah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd, yang kini beroperasi dengan 1,132 bas untuk 175 laluan di Lembah Klang.

Beliau berkata, Rapid Bus memulakan program bayaran tanpa tunai secara berperingkat untuk Koridor Ampang, diikuti Cheras, Sungai Besi dan Jalan Klang Lama (29 April), Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang (13 Mei) dan Lebuhraya Persekutuan (27 Mei).

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 8:41am
d