arena

Hatrik Perez ceriakan Newcastle

Oleh Reuter

JARINGAN hatrik Ayoze Perez menyelamatkan kebimbangan Newcastle United daripada penyingkiran Liga Perdana Inggeris apabila menewaskan Southampton 3-1 di St James Park awal pagi tadi.

Pemain Sepanyol itu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama untuk meletakkan tuan rumah di depan sebelum menamatkan cabaran Southampton selepas jaringan sagu hati Mario Lemina buat Saints.

Kemenangan itu melonjakkan Newcastle 10 mata di atas pasukan ketiga tercorot Cardiff City yang berdepan Liverpool malam ini.

Southampton kekal lima mata di atas zon penyingkiran.

“Saya rasa sungguh gembira mencatat hatrik dan membantu pasukan mendapat tiga mata penting yang meletakkan kami pada kedudukan hebat,” kata Perez, yang menambah jumlah jaringannya musim ini kepada dua angka buat kali pertama di Newcastle.

“Kami kini di tangga ke-12 dan ia sungguh bermakna. Beberapa bulan ini cukup penting bagi kami.

“Kami melakukannya dengan baik, mendapat keputusan yang diinginkan dan memandangkan kini kami selamat, kami mahu menamatkan saingan di kedudukan yang lebih baik.”

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 7:49am
d