mutakhir

Kantoi seludup tong gas

Oleh HM Digital

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan lelaki tempatan kerana disyaki cuba menyeludup keluar 10 tong gas cecair petroleum (LPG) ke negara jiran menerusi perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, dekat Tawau, malam tadi.

Suspek berumur 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota PPM melalui Ops Gelora Khas selepas bot laju yang dikendalikannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit,

kira-kira 9 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan yang dijalankan menemui 10 tong gas LPG disembunyikan dalam bot laju berkenaan.

“Semua bahan bersubsidi itu masing-masing lima tong gas LPG jenama Petronas dan lima tong gas jenama Mygazz disyaki cuba diseludup keluar ke Indonesia.

“Suspek juga gagal menunjukkan sebarang permit atau dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan tong gas

yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, lelaki terbabit ditangkap bersama barang rampasan termasuk sebuah bot laju bersama satu unit enjin jenis yamaha 40 kuasa kuda yang dianggarkan berjumlah RM18,800.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama

Perkara 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita akan sentiasa tingkatkan rondaan dan operasi di laut bagi mengekang kegiatan penyeludupan barang-barang kawalan khususnya sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2019 @ 10:44am
d