hati

Inspirasi 4 ikon

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KEMAS dan ringkas, namun masih memperlihatkan gaya tersendiri. Himpunan musim luruh dan sejuk Uniqlo kali ini menampilkan empat ikon inspirasi bertepatan tiga tema menarik iaitu rekreasi luar (Ismael Ma), kerja dan kraf (Law Yi Shen bersama Samual Soong) serta seni dan rekaan (Pamela Tan).

Setiap helaian dalam koleksi ini menterjemahkan falsafah inovasi dan teknologi Uniqlo LifeWear yang sentiasa mahu membawa kehangatan, padanan lebih ringan, reka bentuk yang baik serta lebih keselesaan buat pemakai.

Kekal dengan konsep minimalis, keseluruhan rekaan kali ini berjaya mencuri tumpuan lantaran potongan yang ringkas, sesuai dipadankan untuk pelbagai acara.

Menurut Pengurus Pemasaran Uniqlo Malaysia, Dawn Chow, tema bermusim memberi tumpuan kepada struktur yang berkembang bersama-sama dengan kepelbagaian gaya hidup, mengubahnya menjadi siluet yang lebih selesa.

“Mementingkan fungsi pakaian mengikut tema yang diperkenalkan, Uniqlo mempunyai lebih banyak sebab untuk tampil dengan koleksi LifeWear bertepatan kehendak dan keperluan pemakai, sesuai untuk semua generasi dan jantina,” katanya ketika majlis pratonton media di Sunway Damansara, baru-baru ini.

Jelas Chow, himpunan rekreasi luar (outdoor) sesuai untuk mereka yang mahu melarikan diri daripada hiruk-pikuk di bandar dan berhubung dengan alam semula jadi.

Ia menggabungkan teknologi fungsi dengan fabrik semula jadi, membentuk lapisan ringan yang membolehkan kulit bernafas. Bertepatan tema alam, koleksi jaket atau baju panas berleher tinggi ini sedia dalam rona hijau, biru, merah, kuning mustard dan ungu.

Melengkapkan musim ini, Uniqlo juga membawakan pelbagai pilihan pakaian selesa yang sesuai untuk digayakan wanita mahupun lelaki ketika bekerja.

“Kami percaya, lapangan kerja hari ini tidak terhad kepada ruang pejabat saja. Ramai antara kita hari ini bekerja dari pelbagai lokasi dan tempat berbeza setiap hari.

“Justeru, kami bawakan pilihan suai padan menarik sebagai penyuntik semangat untuk mereka supaya terus komited, ceria dan selesa sepanjang menjalankan tugas.

“Koleksi ini menampilkan pilihan pakaian luar ikonik yang dipadankan dengan himpunan gaya kasual seperti celana jenis denim, chino, korduroi dan baju panas kashmir,” katanya.

Bagi mereka yang cenderung terhadap rekaan ringkas dan gaya minimalis moden, Uniqlo menawarkan pelbagai pilihan padanan fabrik kashmir, bulu bebiri merino dan seluar potongan buku lali EZY.

“Setiap helaian koleksi yang ditampilkan musim ini cukup selesa digayakan, selain mudah disuai padan mengikut keperluan pemakai.

“Apapun, kami komited untuk terus menghasilkan produk berkualiti seiring trend fesyen semasa dengan kerjasama pereka global dan ikon gaya hidup seperti Hana Tajima, Ines de la Fressange, JW Anderson dan pasukan Uniqlo U,” katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2019 @ 4:30am
d