arena

'Bukan salah kami F1 bosan' [METROTV]

Oleh AFP

LEWIS Hamilton memberitahu pengkritik Formula Satu supaya tidak menyalahkan pemandu kerana perlumbaan “membosankan” namun sebaliknya harus mengalih tumpuan kepada perencana peraturan.

Juara dunia lima kali itu menghasilkan pemanduan tanpa kesilapan untuk menang dari petak utama buat tahun kedua berturut-turut pada perlumbaan Grand Prix Perancis di Litar Paul Ricard semalam.

Pada perlumbaan dalam cuaca panas di litar Le Castellet, dia mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas ketika mereka meneruskan rentetan kemenangan Silver Arrows kepada 10 perlumbaan berturut-turut.

Ia jelas tidak begitu menggembirakan penonton di litar atau di kaca televisyen seluruh dunia dan Hamilton memberi amaran sukan itu perlu menimbang untuk melakukan “perubahan serius.”

Bercakap selepas kemenangan karier kali ke-79, dia memberitahu wartawan mereka perlu memikirkan siapa patut dipersalahkan sebelum membuat sebarang rumusan.

“Jangan menuding jari kepada pemandu kerana kami tidak merangka peraturan,” kata Hamilton.

“Anda harus menekan orang di atas yang patut melakukan tugas mereka. Saya fikir mereka cuba melakukannya tapi sejak beberapa tahun lalu mereka membuat keputusan yang teruk.”

Kejayaan Hamilton bersama pasukan dominan Mercedes diraikan sesetengah pihak sebagai satu era hebat namun yang lain – termasuk pemandu Britain itu sendiri – menyatakan mereka mahu melihat persaingan lebih sengit di litar.

Disiarkan pada: June 24, 2019 @ 2:05pm
d