mutakhir

Petugas TH selamat tiba [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

SERAMAI 151 petugas Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1440 Hijrah/2019 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah 6.40 petang waktu tempatan (11.40 malam waktu Malaysia), Khamis lalu.

Mereka disambut oleh Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Mohammad Saimi Mat Som.

Menurut Saimi, suasana di sana masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Makkah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah (4 Julai) nanti.

“Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius.

“Ia adalah salah satu cabaran bagi 30,200 Jemaah Haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua mereka adalah kumpulan kedua daripada 640 petugas awal TH yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji negara.

Petugas haji tiba dengan berpakaian ihram itu sudah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Makkah dan Madinah, semalam.

Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.

TH menyediakan 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos, tahun ini.

Hari wuquf dijangka pada Sabtu, 9 Zulhijjah 1440H bersamaan 10 Ogos 2019.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: June 29, 2019 @ 10:01am
d