mutakhir

Detik cemas dua beradik

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA beradik terperangkap dalam kereta Proton Satria Neo yang terkunci di hadapan sebuah taska di Sendayan, Seremban, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.51 petang sebelum enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, anggota mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan bayi perempuan berusia 12 bulan berada di dalam kereta yang dihidupkan enjin.

“Berdasarkan maklumat, wanita berusia 27 tahun meletakkan kedua-dua anaknya itu ke dalam kenderaan selepas mengambil mereka dari taska.

“Bagaimanapun, selepas menutup pintu kenderaan ia terkunci secara tiba-tiba menyebabkan wanita itu tidak dapat membukanya lalu meminta bantuan guru taska, tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Syazwan berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu bahagian pemandu sebelum berjaya mengeluarkan dua beradik terbabit.

Katanya, dua beradik terbabit dalam keadaan baik dan kerja penyelamatan hanya mengambil masa lima minit.

Difahamkan, mereka terperangkap kira-kira 35 minit sebelum diselamatkan bomba.

Disiarkan pada: July 1, 2019 @ 9:13pm
d