mutakhir

Ditipu 'Sarjan' dan 'Inspektor'

Oleh Shahrinnahar Latib

BIMBANG ditahan polis kononnya terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram, pesara akauntan dari Kuantan kerugian RM10,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai polis.

Kejadian bermula 30 Jun lalu apabila mangsa lelaki berusia 73 tahun menerima panggilan telefon daripada wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Sarjan Natasha Radzie’ kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, ‘Sarjan Natasha’ mendakwa mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek mendakwa mangsa membuka akaun bank menggunakan nombor kad pengenalannya untuk digunakan bagi aktiviti pengubahan wang haram.

“Malah terdapat satu waran tangkap dikeluarkan terhadap mangsa dan semua akaun warga emas itu akan dibekukan.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan diputuskan. Pada Selasa lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Yong’ juga dari IPK Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Wazir berkata, ‘Inspektor Yong’ meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun diberikan jika tidak mahu akaun mangsa dibekukan.

“Mangsa yang bimbang kemudian membuat pindahan wang RM10,000 ke dalam akaun yang diberikan di sebuah bank di Jalan Beserah di sini.

“Namun selepas memasukkan wang itu, ‘Inspektor Yong’ menghubungi mangsa dan meminta lagi wang dipindahkan ke dalam akaun berkenaan.

“Mangsa yang mensyaki dirinya sudah dirinya sudah ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: July 5, 2019 @ 12:02pm
d