mutakhir

Hentian rehat jadi transit

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KOTA TINGGI: Buru secara haram burung murai batu tempatan sebelum cuba diseludup dan dijual di pasaran gelap negara jiran Indonesia pada harga melebihi RM500,000.

Itu antara kegiatan sindiket yang ditumpaskan sepasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor selepas cuba menyeludup keluar 260 burung murai batu ke negara jiran dua hari lalu.

Pengarah Perhilitan Johor Salman Saaban berkata, semua burung berkenaan ditemui disembunyikan di dalam 23 sangkar di kawasan Hentian Rehat Layang, Lebuhraya Senai-Desaru.

“Berdasarkan maklumat awam, pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor menemui semua haiwan itu jam 2 pagi.

“Semua burung itu dipercayai cuba dipindahkan ke dalam bot dan dihantar menggunakan jalan laut ke Indonesia,” katanya.

Salman berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana suspek melarikan diri daripada pasukan penguatkuasa Perhilitan Johor.

Beliau berkata, kawasan Hentian Rehat Layang menghala Bandar Penawar, Kota Tinggi dipercayai dijadikan kawasan penyerahan hidupan liar itu kerana kawasan berkenaan mempunyai banyak laluan keluar alternatif untuk mengelakkan ditangkap pihak berkuasa.

Katanya, murai batu mendapat permintaan tinggi di negara jiran dan boleh dijual RM1,000 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada kecantikan dan kemerduan suaranya.

“Murai batu adalah spesies dilindungi mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Sesiapa yang memburu atau menyimpan hidupan liar yang dilindungi boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:50am
d