arena

Jellson gagal 10m platform

Oleh Aida Adilah Mat

CABARAN penerjun lelaki negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Gwangju, Korea Selatan berakhir hari ini selepas penerjun muda Jellson Jabillin gagal melepasi pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu.

Kali pertama beraksi pada Kejohanan Dunia, terjunan Jellson tampak sedikit goyah namun ia harus dijadikan pengalaman berharga buatnya yang baru berusia 17 tahun.

Penerjun dari Sabah itu mengumpul 327.40 mata untuk menamatkan saingan di tangga ke-30 daripada 47 peserta.

Pusingan kelayakan acara itu dikuasai penerjun dari China, Yang Jian yang mengumpul 530.10 mata diikuti Thomas Daley dari Britain (514.60) dan Yang Hao dari China (503.20).

Penerjun negara Wendy Ng akan beraksi pada acara final 3m papan anjal individu wanita bermula jam 7.45 malam ini.

Wendy sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan kejayaannya melayakkan diri ke final.

Ahad lalu, gandingan berpengalaman Pandelela Rinong-Leong Mun Yee menghadiahkan pingat perak di Gwangju menerusi acara 10m platform seirama wanita.

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 5:45pm
d