arena

Guardiola idam ulangi hatrik United

Oleh AFP

MANCHESTER City menyedari mereka tidak perlukan perubahan radikal selepas meraih 198 mata dalam Liga Perdana Inggeris bagi dua kempen terakhir.

Juara bertahan itu hanya mencicirkan 30 mata dalam tempoh itu dan mengekalkan dominasi domestik mereka, diberi tekanan sepanjang musim lalu oleh Liverpool tetapi bertahan untuk menang hanya satu mata di hujung saingan.

Secara asasnya ia tampak sama – sukar untuk melihat pasukan lain kecuali Liverpool untuk menghalang City daripada menjadi pasukan pertama menang tiga gelaran berturut-turut Liga Perdana sejak Manchester United dari 2006-07 hingga 2008-09.

Ada beberapa kelemahan dalam skuad seimbang City, yang menggabungkan pasukan bergelar juara dan bakat hebat.

Pemergian paling ketara dari Etihad adalah pertahanan Belgium, Vincent Kompany yang kembali ke Anderlecht selepas 11 tahun berkhidmat, membawa bersamanya tahap kepimpinan berharga.

Pemain tengah bertahan, Rodri, 23, menyertai City dari Atletico Madrid dengan rekod kelab dan Pep Guardiola juga kembali mendapat khidmat Kevin De Bruyne, yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu mengalami kecederaan.

Soalan ditanya pada permulaan musim lalu adalah ‘apa yang anda mahu selepas menang Liga Perdana dengan 100 mata’?

Guardiola menjawabnya dengan memenangi tiga gelaran domestik buat kali pertama dalam sejarah bola sepak England.

City boleh menukar fokus untuk menang Liga Juara-Juara buat julung kali dan pengurus itu mungkin menyedari kekalahan tipis pada suku akhir kepada naib juara, Tottenham sebagai bukti pasukannya tidak jauh daripada meraih kejayaan di Eropah.

Guardiola dengan skuadnya menewaskan Liverpool menerusi penalti pada Perisai Komuniti Ahad lalu dalam saingan pembuka tirai musim, sudah menjangka skuad kendalian Juergen Klopp akan sekali lagi menjadi pencabar utama.

“Ada dua pencabar sebenar, Liverpool dan kami, untuk menang Liga Perdana. (Manchester) United dengan (Harry) Maguire dan pemain lain dibeli mereka, Arsenal, Chelsea dan Tottenham juga boleh berada di sana,” katanya.

Disiarkan pada: August 6, 2019 @ 1:20pm
d