mutakhir

Apa sudah jadi KLIA?

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak berpuas hati dengan masalah teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAVCOM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan sebagai sebuah suruhanjaya yang menyediakan mekanisme untuk perlindungan pengguna penerbangan, pihaknya terkejut dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, MAVCOM sudah berhubung dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan meminta pihak terbabit memaklumkan kepada penumpang dan syarikat penerbangan sekiranya operasi di KLIA kembali normal.

“Kami faham MAHB sedang bekerjasama dengan semua pihak berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang.

“MAVCOM akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA menerusi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang serta Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” katanya.

Sejak malam Rabu lalu, KLIA mengalami masalah teknikal berpunca daripada mesin pelayan di terminal hingga menyebabkan kemudahan wifi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan serta kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

Selain itu, beberapa penerbangan juga terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah berkenaan.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 5:21pm
d