dekotaman

Suasana klasik, retro [METROTV]

Oleh Nurul Husna Mahmud

MENJENGAH kediaman Hamziezar Hamzah bersama pasangannya, Normala Kamaruddin dan dua anak mereka, pemandangan luar rumah tiada beza dengan kediaman keluarga di Dataran Templer berhampiran Stadium Selayang, Selayang, Selangor.

Dari laman luarnya kelihatan sangkar kucing peliharaan selain anjung parkir ditempatkan dua koleksi kenderaan klasik iaitu Holden Kings Wood, Harley Davidson dan van Sambar warna biru.

Lain pula ceritanya sebaik kaki penulis melangkah masuk ke kediaman, keseluruhan suasana berubah iaitu daripada ruang biasa kepada galeri pameran memaparkan koleksi barang vintaj.

Istimewanya tetamu kediaman itu pasti berasakan ‘aura’ seni atau kreativiti pemiliknya sebaik pintu utama kediaman itu dibuka.

Mana tidaknya, mata tentu terarah kepada ruang menempatkan pelbagai bingkai gambar kereta klasik yang pernah memenangi pameran kereta selain kehadiran basikal klasik ‘chopper’ turut diletakkan bersebelahan meja membaca untuk dua orang.

Menurut Hamziezar, kecenderungan menata hias kediaman dengan konsep ‘berani’ iaitu retro bermula secara berdikit-dikit sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, dia bermula dengan aktiviti mengumpul kenderaan klasik selain mengubah suai sendiri model yang ada seperti Beetle Volkswagen bersama basikal Chopper, kemudian beralih kepada tata rias ruang dalam rumah sendiri.

“Sebelum terbabit dengan perniagaan perkhidmatan kenderaan sewa, saya pernah berkhidmat dalam industri hotel lebih 10 tahun.

“Secara tidak langsung menyemai minat terhadap hiasan dalaman. Bagaimanapun, minat itu terhenti seketika sebab sibuk dengan perniagaan sendiri sehinggalah lapan tahun berjinak -jinak dengan kelab motosikal dan kereta klasik. Apa yang saya perasan, saya sudah temui jiwa dan ia ‘merebak’ kepada perabot rumah termasuk koleksi audio dibeli.

“Saya beli sedikit demi sedikit, maklumlah barang klasik atau item retro memang harganya melambung disebabkan ‘usianya’ kerana dihasilkan sekitar 1950-an hingga 1960-an. Bayangkan macam set audiogram dan pembesar suara jenama Sunsui antara paling ‘rare’ harganya mencecah RM5,000.

“Jadi itu memang satu pelaburan besar untuk memiliki koleksi ini sebagai aksesori penting dalam dekorasi rumah. Saya tidak rasa membebankan biarpun barang lama, ia masih berfungsi dengan baik selain nilai sentimental dimiliki membuatkannya sangat istimewa,” katanya yang turut gemar menyertai pameran kenderaan klasik.

Meskipun pembelian semua perabot itu dilakukan berasingan dan tidak didatangkan dalam satu koleksi, tak menjadi masalah buat Hamziezar menyuai padan susun atur ruang kediamannya itu.

“Memang saya perasan cubaan konsep seperti ini bukanlah menjadi pilihan kebanyakan orang tetapi saya belajar dengan kaedah cuba terlebih dahulu.

“Jika didapati tidak sesuai, ia boleh perbetulkan. Itu makan masa tetapi saya akan buat sehinggalah pada mata tampak semua serasi.

“Panduan bagi seimbangkan kombinasi ini, saya akan guna perabot kayu dan gelap untuk ‘lembutkan’ suasana ruang yang turut dimuatkan barangan retro.

“Barangan retro biasanya warna dan bentuknya terlalu menonjol tetapi apabila dipadankan dengan kayu ia masih sepadan. Pilihan lain ialah penggunaan warna perabot sama ada gelap atau lembut untuk seimbangkan kontra antara perabot atau koleksi hiasan yang ada,” katanya.

Menyentuh maklum balas ahli keluarga atau kenalan yang pernah berkunjung ke rumahnya, kata Hamziezar ramai yang tidak menyangka luar dan suasana dalam rumah berbeza.

“Orang cakap luar macam flat tetapi dalam seperti kondo. Maklumlah luar rumah ialah bengkel atau stesen kerja, tetapi dalam rumah ialah terapi iaitu kalau penat bekerja sini ialah ruang saya beristirahat bersama keluarga,” katanya.

Bgai Normala pula, besar manfaat dan cabaran memiliki tata hias sebegini. Katanya paling sukar ialah untuk mengekalkan keindahan rupa sepanjang masa.

“Suka memang suka apabila suami tata hias rumah dan suasana cantik sebegini. Apatah lagi saudara atau kenalan memuji kerana sudah seperti galeri pameran dan menyenangkan.

“Cabarannya apabila kami buat majlis atau keraian. Itu sangat mencabar kerana dengan adanya aksesori vintaj sekeliling rumah, saya kena ‘kerja’ kuat sikit untuk menjaga termasuk mengingatkan tetamu supaya berhati-hati terutama ada yang anak kecil.

“Kalau berlaku kerosakan dan hantar untuk baiki, menelan ratusan ringgit. Jadi saya sebagai isteri kena main peranan selain menyokong hobi suami, kena hargai kerja kerasnya menerusi menjaga barang berkenaan.

“Anak saya, Muhammad Aidil, 23, dan Muhammad Adeeb Al Mukmin, 11, memang sejak kecil sudah dilatih serta tahu bagaimana untuk menjaga ruang atau barang yang ada,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:40am
d