mutakhir

Tentera Malaysia di Lubnan berjaga-jaga, bersedia [METROTV]

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SERANGAN antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah pada petang semalam tidak membabitkan kawasan penugasan pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6).

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Hal Ehwal Awam dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang waktu tempatan itu hanya memberi kesan kepada petugas United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di selatan Lubnan.

Katanya, kawasan terjejas tidak membabitkan kawasan tanggungjawab penugasan Batalion Malaysia (MALBATT 850-6).

“Bagaimanapun, Markas UNIFIL sudah mengeluarkan arahan untuk semua batalion setiap negara, termasuk Malaysia supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Setakat ini MALBATT 850-6 masih dalam keadaan terkawal dan selamat serta melaksanakan rutin operasi yang meliputi rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab dan kawalan kem seperti biasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tentera Israel dan pejuang Hezbollah berbalas tembakan di sempadan Lubnan semalam selepas ketegangan di wilayah itu semakin meningkat sejak seminggu lalu.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 10:30pm
d