mutakhir

Wanita maut motosikal ditunggangi suami rempuh kereta

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SURI rumah maut selepas motosikal dibonceng merempuh kereta di Kilometer 40.4 Jalan Kota Bharu -Kuala Krai, Machang, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.10 petang, Siti Nor Zuraiha Mamat, 32, maut di tempat kejadian manakala suaminya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy berkata, ketika kejadian pemandu kereta Perodua Myvi berusia 26 tahun dalam perjalanan ke stesen minyak di Bypass Machang.

Katanya, selepas mendapati tiada kenderaan di kedua-dua arah, pemandu membelok masuk ke stesen minyak.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah motosikal Yamaha YZF-R25 dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai tidak sempat mengelak sebelum merempuh pintu belakang sisi kanan kereta.

“Pelanggaran mengakibatkan kereta berpusing ke arah Kota Bharu manakala penunggang dan pembonceng motosikal terpelanting,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 12, 2019 @ 11:49pm
d