mutakhir

Pentas seni di dapur

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

‘IT’S done...’ Gemersik suara wanita ini setiap kali mengakhiri video masakannya di laman Instagram bagaikan membentuk satu fenomena baru di pentas media sosial.

Siapa tidak kenal dengan Datin Paduka Ainur Syakina Azman, atau lebih dikenali sebagai Eina Azman, 24. Orangnya lembut, peramah dan cukup merendah diri. Sejak melahirkan pasangan putera puterinya, Karl Kareef dan Arianna Aubrey yang berusia tiga tahun, Eina agak jarang muncul di kaca televisyen.

Begitupun, Eina tetap aktif memuat naik pelbagai gambar menarik, berkongsi perkembangan diri, keluarga dan anak-anak, serta merekodkan aktiviti memasaknya di laman Instagram.

Berkongsi kegembiraannya di dapur, kata Eina, dia memang sengaja mengurangkan aktiviti seni sejak berkeluarga kerana mahu fokus kepada dua kembarnya.

“Selain menjaga keluarga, benda yang paling saya suka sekarang adalah masak. Masak, masak dan masak. Mereka yang ikut Instagram saya tahu, kalau pergi mana-mana pun memang saya akan masak!

“Walau melancong ke luar negara sekalipun, dapur tetap berasap. Tambahan suami suka masakan rumah. Jadi, setiap hari, sekurang-kurangnya sekali, mesti saya akan memasak. Suami juga tidak jemu memberi sokongan dan dorongan kepada saya,” katanya

Minat ke dapur

Tidak lengkap cerita jika tidak bertanya lanjut mengenai permulaan wanita ini ke dapur. Kata Eina, dia mula menyibuk di dapur sekitar umur 10 ke 11 tahun.

“Mummy dan nenek selalu melarang sebab saya cuai. Asal masuk ke dapur, mesti ada saja yang pecah. Walaupun mereka bising, saya tetap masuk juga sebab rasa ingin tahu.

“Pada usia 16 tahun, saya mula pandai memasak. Hidangan pertama ketika itu adalah ayam masak lemak cili padi. Semua ahli keluarga suka. Mereka kata, masih boleh belajar dan asah kemahiran yang ada. Dari situ saya makin berkobar-kobar untuk terus belajar,” katanya.

Jelas Eina, dia percaya memasak adalah sebahagian daripada cabang seni. “Semuanya terpulang kepada yang memasak. Ikut cita rasa masing-masing. Macam saya sendiri, banyak merujuk pada mummy. Dia kongsi petua dan beri komen untuk saya perbaiki mutu masakan.

“Lagipun, memasak pelbagai hidangan tidaklah susah. Ada banyak cara ringkas yang boleh digunakan termasuk menggunakan MAGGI Cukup Rasa. Ia melengkapkan rasa hidangan dan mempercepatkan proses memasak,” katanya.

Apapun, kata Eina, dia seronok merakam lebih banyak video masakan dan puas dapat berkongsi ilmu serta idea masakan dengan pengikutnya di Instagram.

“Saya harap dengan membuat pelbagai resipi video dapat memotivasikan lebih ramai wanita supaya mereka cuba memasak. Ramai yang kata memasak ini susah, tapi sebenarnya ada banyak cara mudah. Selagi tidak mencuba, kita takkan tahu. Tak kenal, tak cinta!” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 10:00am
d