itmetro

Penuhi keperluan produktiviti

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Trend pengguna hari ini gemar memilih peranti mudah alih yang mampu menyumbang kepada produktiviti tugasan harian, kerja di pejabat dan mudah dibawa tanpa perlu menggalas beg berat untuk ke mesyuarat atau pembentangan.

Jika dicadangkan kepada mereka penggunaan tablet yang mampu menyumbang kepada produktiviti harian, ramai menyatakan pengguna tablet mempunyai had dan ia tidak sama seperti apa komputer riba mampu lakukan.

Untuk pertikaian itu, penulis agak bersetuju, namun tidak sepenuhnya memandangkan masih ada peranti dalam kelas tablet yang menawarkan kefungsian sama seperti komputer riba atau komputer.

Contoh, peranti mudah alih keluaran Apple iaitu iPad 10.2 yang menggunakan sistem operasi iPadOS adalah pilihan kepada pengguna kerana ia bukan saja menawarkan ekosistem yang sangat mesra pengguna, malah penawaran aksesori memenuhi keperluan produktiviti.

Mungkin bagi sesetengah pengguna agak skeptikal berhubung penggunaan tablet sebagai ‘pengganti’ komputer riba untuk tujuan produktiviti, namun iPad menawarkan lebih daripada kefungsian tablet.

Secara keseluruhannya, penulis boleh menyatakan iPad generasi ini sangat bersesuaian dengan tugasan harian dengan padanan aksesori seperti papan kekunci dan pen pintar keluaran Apple.

Menariknya, Pen Pintar keluaran Apple ini sudah diiktiraf sebagai antara perkakasan terbaik yang memiliki tahap kejituan tinggi jika anda artis grafik yang perlu melakar sesuatu.

Papan kekunci keluaran Apple ini juga tidak memiliki bateri atau perlu dicas memandangkan ia hanya memerlukan bateri iPad untuk beroperasi.

Peranti iPad yang didatangkan dengan keluasan skrin 10.2 inci bukan saja ringan, nipis dan mudah dibawa ke mana saja malah boleh dimuatkan di dalam beg kecil tanpa pengguna perlu menggalas beg besar yang berat.

Ia juga bersesuaian pengguna yang sentiasa bergerak daripada satu lokasi ke lokasi lain dan anda boleh menggunakan iPad untuk tugasan atau produktiviti pada bila-bila masa dengan masa kepenggunaan optimum.

Bateri peranti ini juga mampu bertahan lebih daripada 48 jam walaupun anda menggunakan secara optimum dan masa pengecasan juga sangat pantas.

Spesifikasi iPad Generasi Kelapan

Pemproses : Apple A10 Fusion

Storan: 32GB / 128GB

Skrin: 10.2 inci

Paparan: Panel jenis LCD IPS skrin sesentuh

Bateri: 8,827mAh

Penilaian penulis

Prestasi: 4.5/5

Kemampuan bateri: 5/5

Produktiviti: 4.5/ 5

Harga: 4.5/ 5

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 8:00am
d