mutakhir

Bayi dibalut selimut dalam tong sampah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAYAT bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam tong sampah di Jalan BBN 1/2K, Bandar Baru Nilai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat ditemui pekerja pembersihan sampah pada 8.40 pagi.

“Pekerja terbabit kemudian menghubungi polis memaklumkan penemuan dan sepasukan anggota segera ke lokasi.

“Bayi perempuan itu masih bertali pusat, dibungkus dengan selimut dan diletakkan di dalam tong sampah di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, setakat ini polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan pelaku.

“Kita sudah mengambil keterangan dua saksi kejadian iaitu pekerja pembersihan yang menemui mayat bayi itu dan tiada sebarang petunjuk serta maklumat berkenaan ibu mangsa,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan bedah siasat akan dilakukan pagi esok.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 3:59pm
d