WM

'Tidak ada istilah tangan sejuk, panas'

Oleh Aida Adilah Mat

BERBUDI kepada tanah tidak pernah merugikan, malah ia mendatang pulangan yang menguntungkan apabila dapat menuai hasil untuk kegunaan sendiri selain boleh menjualnya sebagai pendapatan sampingan.

Bagi Roslina Rosli, bercucuk tanam sudah menjadi minatnya dan bermula daripada menanam pokok bunga dia kini beralih kepada tanaman sayur-sayuran.

Roslina, 38, berkata, dia mula aktif menanam sayur sejak Ramadan lalu selepas mendapat benih cili padi daripada rakannya. Apabila melihat pokok itu semakin segar dan membesar, semangatnya menambah hasil tanaman semakin kuat.

“Saya suka melihat pokok membesar dengan sihat. Ia menaikkan semangat saya. Saya mula beli benih di kedai selain mendapatkan secara dalam talian.

“Sekarang ini, saya menanam sayur-sayuran dan tumbuhan yang boleh digunakan untuk memasak. Saya juga memilih pokok buah renek yang cepat mengeluarkan hasil.

“Kini saya tidak lagi perlu membeli seikat daun sup yang juga dipanggil saderi semata-mata untuk memasak sup ayam. Saya hanya perlu ke kebun di laman untuk memetik tiga atau empat batang pokok saderi dan ia sudah memadai. Ia membantu menjimatkan masa dan wang ringgit,” katanya.

Menetap di Kampung Rahmat, Kulai Johor, Roslina berkata, kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila melihat anaknya dapat memetik buah hasil tanaman sendiri.

Antara pokok buah-buahan yang terdapat di kebun sayurnya adalah mulberi, strawberi dan ceri barbados.

“Bercucuk tanam memberi saya ketenangan. Biarpun penat tapi apabila saya berada di kebun ia memberi saya ketenangan. Malah, anak juga suka membantu saya menjaga kebun jika cuti sekolah.

“Syukur alhamdulillah, aktiviti berkebun ini dapat mengeratkan hubungan kami seisi keluarga. Kami melakukan semua kerja di kebun ini bersama-sama. Suami melakukan kerja berat dan anak pula melakukan kerja ringan,” katanya.

Katanya, tiada istilah tangan sejuk atau tangan panas kerana apa yang penting adalah menggunakan medium yang sesuai, benih berkualiti dan penjagaan yang konsisten.

Di sinilah pentingnya untuk menyertai komuniti di laman sosial seperti di Facebook.

Daripada laman sosial itu, dia belajar cara penjagaan pokok, bertukar-tukar pendapat dan pandangan selain dapat bertukar keratan pokok serta biji benih. Bahkan ada rakan di alam maya turut memberi maklumat di mana boleh mendapatkan benih dan baja berkualiti.

“Semua orang berpeluang mendapatkan hasil tanaman yang memuaskan. Anda hanya perlu rajin menjaga, bukan sekadar tanam kemudian tinggalkan tanaman tanpa dijaga dengan betul.

“Kalau anda buat begitu memanglah tanaman tidak menjadi. Sama seperti kita, tanaman pun perlukan makanan dan belaian. Kita juga akan bosan jika diberikan makanan yang sama setiap hari. Begitu juga tumbuhan. Pelbagai sumber nutrien diperlukan tumbuhan dan perlu mengimbanginya. Jangan hanya bergantung pada satu jenis nutrien saja,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 5:10am
d