mutakhir

Satu lagi PPS dibuka

Oleh Nur Lela Zulkipli

SATU lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Ijok, Kuala Selangor, bagi menampung pertambahan jumlah mangsa banjir sejak petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, setakat ini seramai 10 keluarga membabitkan 32 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok yang dibuka sejak 4 petang semalam.

Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir mencecah 659 orang di empat lokasi sekitar Kuala Selangor.

“PPS di SK Parit Mahang terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang mana sehingga pagi ini seramai 492 mangsa daripada 138 keluarga ditempatkan di sekolah berkenaan.

“Sementara jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields masih kekal 89 orang mangsa daripada 22 keluarga.

“Jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Jaya Setia turut meningkat dengan seramai 48 orang daripada 15 keluarga berbanding 46 mangsa pada petang semalam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, PPS di SK Parit Mahang yang penuh memaksa pihaknya membuka PPS di Ijok selepas sekurang-kurangnya 10 lagi rumah dinaiki air sehingga paras satu meter.

Katanya lagi, fenomena air pasang besar yang dijadualkan berlaku di pesisir pantai Selangor mulai awal pagi tadi juga dalam keadaan terkawal.

“Sehingga kini keadaan dilaporkan terkawal, pihak kami juga tiada menerima sebarang laporan terdapat ban pecah akibat air pasang besar pagi tadi.

“Kita akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan menempatkan anggota di lokasi yang berisiko tinggi sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Disiarkan pada: October 27, 2019 @ 11:57am
d