utama

Ceria Pesta Cahaya

Oleh BERNAMA

SAMBUTAN perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya disambut sederhana di seluruh negara dengan penganut Hindu mengambil kesempatan cuaca baik di sebelah pagi, untuk menyempurnakan upacara keagamaan di kuil di kawasan masing-masing.

Sambutan Deepavali yang menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kuasa kejahatan atau simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan, turut dimeriahkan dengan tradisi kunjung mengunjung rumah saudara dan sahabat handai, sekali gus melambangkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Di Seremban, Negeri Sembilan, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir di majlis rumah terbuka Deepavali Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, semalam.

Majlis yang bermula jam 12 tengah hari itu, turut meraikan anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya antaranya daripada Rumah Kanak-Kanak Vivekananda Rembau, Pertubuhan Kebajikan Sri Raghavendra dan Pertubuhan Kebajikan Vinashini.

Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian tradisional masyarakat India dan nyanyian oleh artis tempatan.

Di Shah Alam, Selangor, antara kuil yang menjadi tumpuan penganut Hindu sejak awal pagi ialah Kuil Sri Maha Mariamman, Seksyen 7 di sini dan Kuil Sri Nagara Thendayuthapani di Klang.

Bagi T Kumar, 38, berkunjung ke kuil setiap kali pagi perayaan itu adalah perkara wajib yang dilakukan oleh beliau sekeluarga.

“Selepas ini saya akan pergi ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan,” kata pekerja swasta.

Di Ipoh, Perak, Kuil Kallumalai Arulmigu Sri Subramaniar di Gunung Cheroh antara yang menjadi tumpuan masyarakat Hindu negeri ini dengan memakai pakaian baharu berwarna-warni selain turut membawa buah-buahan dan bunga untuk upacara sembahyang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam ucapan menerusi laman Facebooknya berharap Pesta Cahaya ini membawa kebahagiaan dan kemakmuran untuk semua penganut agama Hindu.

Majlis Rumah Terbuka bersempena sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019 peringkat negeri Perak diadakan di 10 daerah yang telah bermula sejak 19 Oktober lepas sehingga 11 November depan, dengan daerah pertama bagi acara rumah terbuka itu ialah di Bidor, di daerah Batang Padang diikuti di Selingsing, Titi Serong, Slim River, Hutan Melintang, Bagan Datuk dan Selama.

Di Kota Kinabalu, Sabah, kira-kira 1,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama di sekitar bandar raya ini turut mengambil kesempatan cuaca baik di sebelah pagi untuk menghadiri sambutan Deepavali anjuran Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, dekat sini, sebelum menikmati jamuan ringan yang disediakan. Sambutan itu diserikan lagi dengan kehadiran Presiden kuil tersebut Brig. Jen. Datuk A Arulpragasam yang juga Penasihat Kehormat Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Cawangan Sabah serta Timbalan Presidennya Datuk Dr K Mathavan selaku Presiden Hindu Sangam Malaysia Cawangan Sabah.

Arulpragasam yang ditemui pemberita berkata jamuan itu diadakan sekian lama sebagai cara meraikan dan memeriahkan sambutan Deepavali bersama-sama masyarakat lain, sekali gus menjadikannya sebagai platform mengeratkan lagi hubungan antara keluarga dan sahabat handai.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, walaupun hujan di beberapa jajahan, ia tidak menghalang kira-kira 7,000 masyarakat Hindu di negeri ini menyambut perayaan itu bersama masyarakat pelbagai kaum.

Presiden Persatuan Fizikal dan Budaya India Kelantan Gandhiraja Perumal berkata, pada sambutan tahun ini, masyarakat di negeri itu juga memilih untuk berjimat-cermat berikutan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Kami melakukan persiapan sejak seminggu lalu dengan membeli makanan dan pakaian, begitu juga dengan anak perantau yang mula balik kampung sejak beberapa hari lalu.

Mengikut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di sebelah pagi diramalkan dalam keadaan baik dengan hanya hujan di kawasan pantai timur, bagaimanapun pada sebelah petang, hujan diramalkan berlaku hampir disetiap negeri dengan ribut petir di beberapa kawasan.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 7:00am
d