arena

Salah penyelamat Liverpool

Oleh AFP

MOHAMED Salah meledak gol ke-50 di Anfield dalam kariernya di Liverpool menerusi sepakan penalti ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris kembali mendahului enam mata dalam carta selepas hampir dikejutkan Tottenham Hotspur.

Ia adalah kemenangan kebangkitan yang membuatkan pengurus Liverpool memuji barisan pemainnya selepas berjaya menyerap tekanan selepas Harry Kane mencipta kejutan dengan menjaringkan gol pendahuluan dengan hanya 47 saat beraksi.

Salah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 dengan menyepak di sudut tepi kanan selepas Serge Aurier menarik Sadio Mane, untuk membolehkan bintang Mesir itu mencatat gol ke separuh abad bersama Liverpool selepas 58 penampilan.

Ia kebangkitan semula yang lengkap pada separuh masa kedua, bermula apabila Jordan Henderson menafikan jaringan pembukaan dramatik daripada Kane.

Lebih banyak berita baik kepada peminat Liverpool selepas perlawanan apabila Klopp mendedahkan Salah yang dilihat mengalami kecederaan pergelangan kaki pada penghujung aksi dan dikeluarkan kerana langkah berjaga-jaga sebelum didapati tidak mengalami masalah serius.

“Ketika kami ketinggalan 0-1, kami tidak berusaha mengejarkan secepat mungkin. Kami hanya beraksi seperti biasa,” kata Klopp dengan gembira.

“Jarang sekali keputusan itu adalah persembahan keseluruhan. Aksi itu sangat-sangat bagus. Saya sangat menyukainya. Ketinggalan 0-1 berdepan Tottenham dengan kekuatan yang ada menerusi serangan balas agak sukar.”

Tambahnya : “Saya gemar perlawanan ini, perlawanan yang hebat, bagaimana corak bola sepak sepatutnya ditonjolkan, bagaimana kami harus bermain dengan pasukan yang lebih kuat, lawan yang lebih tersusun dengan baik.”

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 9:21am
d