mutakhir

Banjir: 784 orang di Kuala Selangor dipindahkan

Oleh BERNAMA

JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Selangor terus mencatatkan peningkatan pada pagi ini, apabila seramai 784 orang mangsa terpaksa dipindahkan akibat bencana itu setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Smart Selangor Command Centre berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (S K) Parit Mahang kini dihuni 581 orang daripada 160 buah keluarga berbanding 492 orang daripada 138 keluarga sebelum ini.

“PPS di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields mencatatkan sedikit penurunan dengan kini ia menempatkan 85 orang mangsa berbanding 89 orang pada petang semalam.

“PPS S K Jaya Setia kini dihuni 47 orang daripada 15 buah keluarga, manakala S K Ijok pula dihuni 71 orang daripada 49 buah keluarga berbanding 32 orang daripada 10 keluarga semalam,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 9:48am
d