mutakhir

Lupus dadah bernilai RM7.3 bilion [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Selangor melupuskan 143,240 kilogram (kg) dadah bernilai RM7.3 bilion hasil rampasan daripada sindiket dadah dan individu perseorangan di tiga daerah bagi tempoh 2003 hingga 2017.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pelupusan berkenaan membabitkan dadah jenis ketamin, methamphetamine, heroin, kokain, erimin 5 dan bahan kimia seperti ephedrine.

“Barang kes dilupuskan sudah selesai perbicaraan di mahkamah yang mana suspek dijatuhi hukuman dan menerima arahan mahkamah untuk dilupuskan.

“Barangan dilupuskan adalah hasil rampasan individu perseorangan, pengedar dan makmal dadah di Gombak, Klang Utara dan Kajang,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor di Seremban, hari ini.

Turut hadir Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner R Sundralinggam dan Pengarah Urusan Kualiti Alam Sdn Bhd, Dr Johari Jalil.

Semua dadah berkenaan akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam menggunakan kaedah teknologi sisa kepada tenaga yang mampu menjana 3.4 Megawatt (MW) tenaga.

Selain itu, Noor Azam berkata, bagi tempoh Januari 2018 sehingga bulan lalu, JSJN Selangor berjaya menumpaskan 10 kes makmal dadah selain menahan 167 pengedar dadah.

“Bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah, kita menyita wang tunai, kenderaan dan hartanah bernilai RM10.73 juta mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” katanya.

Sementara itu, Noor Azam berkata, seramai 35 pegawai dan anggota polis termasuk berpangkat Asisten Superintendan ditahan dalam Op Blue Devil Kontinjen Selangor yang mana 22 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan secara berterusan dan pihaknya bertindak tegas terhadap anggota yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 12:52pm
d