mutakhir

Lelaki maut jengkaut terbalik

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

LELAKI maut akibat tersepit selepas jengkaut dikendalikannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Teluk Intan - Sitiawan, Batu 11 Lekir, Sitiawan hari ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, Muhammad Akmal Salleh, 25, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Difahamkan ketika kejadian mangsa menjalankan kerja pembinaan sebelum jentera berat dikendalikan tergelincir dari cerun dan menyebabkan mangsa tersepit.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Zamzami Abdul Malik berkata, pihaknya menerima panggilan 5.17 petang sebelum sepasukan anggota ke lokasi kemalangan.

“Jengkaut itu dipercayai tergelincir dari cerun menyebabkan mangsa tersepit.

“Bomba memasang tali untuk menstabilkan jengkaut dan mengalihkan mangsa dari bawah jentera itu dengan bantuan jentera lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis.

“Operasi tamat sepenuhnya pada 6.55 petang,” katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2019 @ 9:39pm
d