arena

Perasaan Pescao bercampur-baur

Oleh Saiful Affendy Sapran

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui agak beremosi menjelang perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang Ahad ini kerana akan meninggalkan kelas perdana itu selepas pusingan terakhir di Valencia 17 November ini.

Hafizh yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech3 musim ini akan kembali beraksi di saingan Moto2 musim depan bersama pasukan Angel Nieto.

“Ia perlumbaan yang akan diingati kerana saya meninggalkan kelas MotoGP hujung tahun ini.

“Saya tahu semua peminat mengharapkan sesuatu yang istimewa tapi sukar untuk saya menjanjikan apa-apa ketika ini dengan pakej jentera sedia ada.

“Saya tidak menerima sebarang peningkatan jentera. Jadi saya harus menerima saja situasi ketika ini dan cuba menamatkan perlumbaan di kedudukan paling baik.

“Sudah tentu amat sedih untuk meninggalkan MotoGP. Saya memang berhasrat untuk kekal di kelas ini tapi tiada lagi slot di MotoGP untuk tahun depan kerana hampir kebanyakan pelumba mengikat kontrak selama dua tahun,” katanya.

Pelumba yang mendapat gelaran El Pescao itu bagaimanapun enggan berputus asa dan berharap dapat kembali semula ke MotoGP pada 2021.

Hafizh menamatkan perlumbaan di tangga ke-10 di Sepang tahun lalu ketika beraksi bersama Monster Yamaha Tech3.

Disiarkan pada: October 31, 2019 @ 7:03pm
d