Oleh Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Polis mengesahkan ada menerima panggilan berhubung permintaan wang tebusan terhadap keluarga Thien Nyuk Fun, 50 dan Bernard Then, 39, yang diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, pihaknya ada bertemu dengan kedua-dua keluarga mangsa mengenai panggilan berkenaan namun jumlah wang tebusan yang diminta tidak dapat didedahkan kepada umum kerana jumlah agak besar.

"Kita ada menemui ahli keluarga mangsa dan mengesahkan mereka menerima panggilan daripada kumpulan suspek.

"Namun jumlah wang tebusan tidak dapat didedahkan kerana jumlah agak besar, " katanya hari ini.

Beliau dalam pada itu, turut mengesahkan kedua mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan dipercayai disembunyikan di sebuah pulau di perairan Filipina.

Dalam kejadian jam 7.45 malam itu, kedua mangsa termasuk pemilik restoran terapung dan pelanggannya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan rifel dan M-16 sebelum dilarikan menggunakan dua bot menuju keluar dari perairan Sandakan serta dilaporkan meloloskan diri ke Pulau Jolo, Filipina.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, perintah berkurung fasa 19 yang tamat pada hari ini, akan dilanjutkan ke fasa seterusnya bermula 18 Mei 2015 dan akan berakhir pada 2 Jun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 1:25 PM