bisnes

Jalin usaha sama strategik

Oleh Nabil Basaruddin

KUALA LUMPUR: Dua syarikat telekomunikasi utama di Malaysia, Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Maxis Berhad (Maxis) menjalin usaha sama strategik menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi penggunaan infrastruktur 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi berkata, pihaknya percaya bahawa kolaborasi adalah penting untuk industri melangkah ke hadapan untuk meneroka pengunaan 5G yang lebih teratur.

Beliau berkata, 5G adalah evolusi seterusnya yang akan mengubah cara orang ramai untuk bekerja, hidup dan bermain.

“Ia akan membolehkan pengalaman pengguna yang lebih baik serta mewujudkan peluang baharu untuk pengguna, pelajar, kerajaan dan juga perniagaan.

“Potensi kerjasama ini akan membuka jalan bagi penyampaian rangkaian 5G bertaraf dunia di samping rangkaian 4G dan 3G/2G sedia ada kepada setiap rakyat, seterusnya menyerlahkan Malaysia sebagai sebuah negara yang digital dalam era Industri 4.0,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Majlis pemeteraian MoU berkenaan diwakili Idham serta Ketua Strategi dan Pegawai Penciptaan Nilai, Muniff Kamaruddin bagi pihak Celcom manakala Maxis diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Gokhan Ogut dan Ketua Teknologi dan Pegawai Informasinya, Morten Bangsgaard.

Sementara itu, Gokhan berkata, buat masa ini, pihaknya sudah berkongsi menara, fiber dan bekerjasama dalam menyediakan kesalinghubungan untuk kawasan luar bandar dan projek USP.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 6:36am
d