Kuala Lumpur: Inovasi dan pendigitalan kewangan kini mula memberi impak besar kepada pasaran kewangan global di mana pembangunan terbabit menyediakan ruang lebih luas dalam pasaran dengan mengubah saluran tradisional, sekali gus membolehkan pelabur menikmati manfaat daripada akses terbaik dan penjimatan kos.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh, langkauan teknologi terkini membenarkan kebanyakan pasaran untuk memulakan teknologi dan media digital secara lebih pantas terutama dalam pasaran pesat membangun yang tidak memiliki struktur legasi.

Menurutnya, firma pengurusan aset dunia kini giat menyepadukan perkakasan pelaburan automasi seperti ‘penasihat robo’ sebagai model perniagaan masing-masing kerana lebih mudah dan memiliki kos lebih rendah.

“Aset pengurusan kekayaan digital dijangka mencecah antara AS$55 bilion dan AS$60 bilion tahun ini iaitu peningkatan daripada AS$16 bilion yang dicatatkan pada hujung tahun lalu,” katanya pada ucaptama sempena Persidangan Pendidikan Pelabur Global Forum Antarabangsa bagi Pendidikan Pelabur (IFIE) dan Organisasi Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) 2015 di sini, semalam.

Acara yang dianjurkan SC itu menghimpunkan pembentang, pengamal dan pakar daripada 30 negara di mana ia dijangka fokus kepada cara untuk mempelbagaikan lapisan dan perspektif dalam keupayaan kewangan dan pendidikan pelabur bagi memastikan pelaksanaannya lebih berjaya pada masa depan.

Dalam perkembangan sama, persidangan itu diharap dapat mendidik pelabur dengan menggalakkan penyertaan lebih ramai pelabur yang bermaklumat untuk memastikan mereka menyedari peluang dan risiko memandangkan spektrum produk pasaran modal sudah tersedia di pasaran kewangan.

Ranjit berkata, landskap luaran mencabar dan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia pada masa kini dilihat menjejaskan keyakinan pelabur yang mudah terdedah di samping lebih cenderung membuat keputusan pelaburan tidak rasional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 6:32 AM