Pekan Kartike yang terletak lapan jam perjalanan dari Kathmandu antara kawasan paling teruk musnah akibat gegaran.
Penulis (kiri) bersama Dr Kenneth Lim dan Dr S Sukumaran berjalan hampir dua jam untuk tiba di Kampung Kartike.
DR Sathya Prabha merawat kaki mangsa gempa ketika GEC membuka klinik bergerak di Kampung Chanaute.

Mendaki banjaran pada ketinggian antara 2,000 meter dan 4,000 meter sambil menggalas beg berisi barangan keperluan dan ubat-ubatan adalah cabaran yang terpaksa dilalui 11 peserta misi bantuan perubatan Kelab Ekspedisi Global (GEC) selama 10 hari bagi membantu rakyat Nepal yang dilanda gempa bumi, baru-baru ini.

Kawasan yang dikunjungi adalah beberapa kampung terpencil seperti di Machey, Pangapur, Chanaute, Kartike, Phanga Pu, Golchey, Bhatpol, Jaisichowk dalam negeri Sindhupalchowk dan Kavre.

Boleh dikatakan semua rumah dalam kampung berkenaan yang terletak di kawasan kaki banjaran ranap menyembah bumi selepas digoncang gempa bumi berskala 7.9 Richter pada 25 April lalu.

Kejadian yang terburuk dalam tempoh 80 tahun itu turut memusnahkan lebih 500,000 rumah, mengorbankan lebih 8,000 nyawa, manakala 10,000 orang pula cedera. Kerugian harta benda membabitkan puluhan bilion ringgit.

Malah, kebanyakan kampung berkenaan kini hanya tinggal nama dan penduduk yang terjejas ada yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke kawasan lain kerana tiada lagi harta mereka yang tinggal.

Penduduknya yang memang sudah miskin kini menjadi lebih miskin.

Sejak itu, mereka terpaksa tinggal di dalam khemah serba daif untuk meneruskan kehidupan. Jika berwang, mereka akan membeli zink untuk dijadikan dinding dan atap rumah sementara.

Bagi pasukan misi perubatan GEC yang diketuai pendaki solo Gunung Everest T Ravichandran, cabaran terbesar yang dihadapi ialah terpaksa mendaki banjaran gunung kerana laluan sedia ada tidak boleh dilalui kenderaan ataupun terletak terlalu jauh di kawasan pedalaman.

Kebanyakan kawasan ini tidak mendapat bantuan perubatan dan itulah matlamat utama misi ini iaitu memberi bantuan perubatan di kawasan yang tidak atau belum lagi menerima apa-apa bantuan.

Jelas sekali, kejadian penduduk kampung yang sanggup datang dari jauh untuk mendapat rawatan perubatan memberi kepuasan kepada doktor sukarelawan yang menyertai misi ini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:45 AM