mutakhir

Pertanian 4.0 [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

MENJADIKAN pertanian sebagai satu perniagaan antara usaha gigih Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membantu golongan usahawan di negara ini.

Merealisasi matlamat itu, kementerian terus mengorak langkah ke hadapan dengan menyuntik teknologi baharu di dalam sektor pertanian yang kian berkembang pesat.

Bagi Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), teknologi masa kini tidak boleh dipandang enteng walaupun dalam bidang pertanian yang biasanya dikaitkan dengan perusahaan kampung.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Pengembangan) DOA, Datin Jatil Aliah Timin berkata, peranan dron yang selari dengan teknologi masa kini umpamanya, membantu dalam pemantauan hasil pertanian selain kaedah soil profiling dan pertanian bandar.

Katanya, dalam kemajuan teknologi masa kini, peranan dron digunakan dan pihaknya turut mengetengahkan soil profiling yang membantu mengkhususkan kegunaan baja atau sebagainya berdasarkan jenis tanah yang sesuai.

“Ia perlu memandangkan kita tahu setiap tanah itu mempunyai kandungan nutrien berbeza dan perlu diselaraskan dengan penggunaan baja.

“Antara lain teknologi ini amat membantu dalam usaha meningkatkan pengeluaran sesuatu produk bagi mana-mana petani atau peladang.

“Begitu juga dengan pertanian bandar yang boleh menjana pendapatan dan menjimatkan perbelanjaan mereka yag tinggal di bandar dengan kos sara hidup tinggi,” katanya ketika ditemui sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini, semalam.

Di HPPNK 2019, DOA membawakan pelbagai pameran di kluster pengelolaan mereka dan sedia memberi penerangan dan menjalankan kempen sebagai tanda memberi kesedaran dan mengajak golongan muda menceburi bidang pertanian.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut mengenengahkan teknologi masa kini dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu dialami pengusaha dalam bidang pertanian.

Antaranya, pembinaan Kilang Tanaman di MARDI, Serdang, penghasilan Padi Kadaria yang juga padi hibrid pertama di Malaysia di Kelantan, pembuatan lemang menggunakan ketuhar dan silinder, selain penggunaan jentera baru menuai padi dan pengubahsuaian traktor bagi penanaman nanas di tanah gambut.

Kilang tanaman yang boleh menghasilkan produk sayuran bernilai tinggi dengan mengetengahkan penggunaan cahaya lampu dan warnanya yang membawa peranan tersendiri, sekali gus menamatkan masalah penggunaan tenaga kerja yang ramai, penggunaan tanah selain pemantauan yang lebih mudah dibuat menerusi telefon bimbit.

Di Kelantan pula, teknologi penghasilan Padi Kadaria membantu meningkatkan hasil pengeluaran antara 15 hingga 20 peratus bagi setiap hektar sekali gus membantu pengusaha padi di negeri itu mendapat hasil yang tinggi berbanding dahulu apabila petani berdepan masalah kawasan tidak sesuai akibat cuaca panas.

Pada masa sama, penggunaan ketuhar dan silinder lemang yang dihasilkan MARDI dan sudah digunakan oleh 10 usahawan seluruh negara ini dapat menyelesaikan isu kesukaran usahawan mendapatkan buluh, masalah panas dan berasap yang boleh mencemarkan alam sekitar selain tidak menggunakan ruang memasak yang luas dan terbuka, selain lemang dapat dimasak secara seragam.

Begitu juga dengan pengenalan jentera menuai padi yang baharu beraliran paksi, CASEiH AF4077 yang mampu meleraikan padi dengan lebih efektif dan mengurangkan kehilangan padi akibat jatuh selepas dituai.

Malah MARDI turut menghasilkan traktor yang diubah suai bagi penanaman nanas di tanah gambut dipanggil traktor trek berkelegaan tinggi.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 10:01am
d