bisnes

Lancar laman web MyMesra dipertingkatkan

Oleh Lizam Ridzuan

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) melancarkan laman web baru MyMesra yang dipertingkatkan sempena kemenangan keenam berturut-turut pasukan Mercedes-AMG Petronas dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed M Tahir berkata, seiring perkembangan teknologi terkini dan kecemerlangan prestasi jenama itu, beberapa ciri baru diperkenalkan untuk kemudahan pelanggan.

“Laman web MyMesra kini dilengkapi elemen Kecerdasan Buatan (AI), chatbot dan MeVa (Mesra Virtual Agent) untuk pembabitan secara langsung bersama pelanggan,” katanya pada majlis pelancaran di sini, semalam.

Hadir sama, pemandu pasukan Mercedes-AMG Petronas, Valteteri Bottas.

Ciri-ciri itu membolehkan semua maklumat berkaitan produk Petronas didapati dengan mudah dan pantas serta mesra pengguna.

“Paparan interaktif kini lebih menarik dengan MeVa yang akan membantu pelanggan mendapatkan maklumat terkini seperti lokasi stesen Petronas berhampiran, minyak enjin yang dicadangkan serta harga bahan api semasa,” katanya.

Laman web MyMesra itu menyediakan ruangan khas yang memaparkan pelbagai maklumat mengenai pasukan F1 mereka yang turut mencipta kejayaan dalam Kategori Pengeluar selama enam tahun berturut-turut.

Katanya, selain laman web diperbaharui, ciri aplikasi tebusan mata ganjaran Kad Mesra juga bakal diperkenalkan pada tahun hadapan.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 8:23am
d