mutakhir

Agama Buddha tak ajar tindas sesama manusia

Kuala Lumpur: Ajaran agama Buddha tidak mengajar penganutnya membuli, menyeksa malah membunuh sesama manusia biarpun berbeza fahaman dan agama.

Perkara itu ditegaskan, Pengerusi Persatuan Penganut Agama Buddha Malaysia Ng Weng Seng yang berkata, ajaran Buddha sebenarnya menganjurkan penganutnya mengamalkan kebaikan dan mementingkan keamanan.

“(Ajaran) Buddha bukanlah sesuatu yang kejam. Ia sudah wujud lebih 2,500 tahun dan tidak pernah mengajar untuk membunuh. Sedangkan haiwan sendiri kita tidak bunuh untuk makan, inikan pula manusia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Ng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pembunuhan etnik Rohingya beragama Islam yang didalangi penganut Buddha di negara berkenaan.

Menurut Ng, dia tidak percaya dakwaan bahawa penganut Buddha di Myanmar sanggup bersikap kejam sehingga membunuh sesama manusia.

“Jika benarlah dakwaan (pembunuhan) berkenaan dilakukan mereka (penganut Buddha) di sana, ia jelas menyeleweng. Malah, perbuatan itu jelas bertentangan dengan ajaran sebenar dibawa Buddha,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya dakwaan itu benar dilakukan penganut Buddha di negara itu, perbuatan berkenaan tidaklah mencerminkan pegangan seluruh penganut Buddha di dunia termasuk di Malaysia.

Disiarkan pada: May 22, 2015 @ 9:02am
d