mutakhir

Lebuh raya utama mula sesak

Oleh Faliq Lajim

TRAFIK di beberapa lebuh raya perlahan berikutan orang ramai mula meninggalkan ibu negara sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui Twitter memaklumkan, sehingga 5 petang, trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara iaitu dari Slim River ke Gopeng, Ipoh ke Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Perak dan Juru ke Plaza Tol Sungai Dua.

Kesesakan menghala selatan dilaporkan di Putra Mahkota ke RnR Seremban, Seremban ke Hentian Sebelah Senawang dan Simpang Renggam ke Sedenak.

Selain itu, kenderaan yang mula memasuki Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menyebabkan kesesakan dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan pusat bandar ke Plaza Tol Gombak.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta twitternya @llminfotrafik.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 6:23pm
d