mutakhir

Buang sisa kimia di tempat tersorok [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

LURANG kumbahan yang tersorok dari laluan utama menjadi lokasi pembuangan sisa kimia berjadual di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, hingga menyebabkan pencemaran air.

Tinjauan juga mendapati lokasi pembuangan berkenaan hanya dikelilingi semak dan jauh dari perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian berkata, pihaknya akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan berisiko berlakunya pembuangan sisa yang menjadikan lokasi terpencil sebagai sasaran.

Menurutnya, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi lurang pembentungan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Lurang kumbahan juga akan dikunci bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab membuka dan membuang sisa kimia.

“Kawalan keselamatan juga akan ditingkatkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi berisiko,” katanya dalam sidang media di Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK), di Bandar Bukit Mahkota , di sini, hari ini.

Loy Sian juga dibawa ke lokasi pembuangan untuk melihat operasi pembersihan sisa kimia yang dijalankan kakitangan IWK.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak bertanggungjawab yang menyebabkan pencemaran air berlaku.

“Setakat ini pihak yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2019 @ 1:45pm
d