mutakhir

Jubah ayah pengubat rindu

Oleh Mohd Amin Jalil

“DUA beradik ini sering memegang dan mendakap pakaian arwah kerana terlalu rindukan ayah mereka.”

Begitu kata Mohd Zatullah Kamarudin, 28, menceritakan kisah dua anak saudaranya, Muhammad Harraz Nashriq, 12, dan Muhammad Azrin Nashriq Kamarul Sharizam, 9, yang tinggal bersamanya.

Kedua-dua beradik itu merindui bapa mereka, Allahyarham Kamarul Sharizam Kamarudin, 40, yang meninggal dunia selepas pulang daripada menunaikan umrah 22 Oktober lalu.

Empat beradik lain ialah Muhammad Haiqal Nashriq, 14, yang menghidap autisme, Qaseh Irdanu Qaisara, 7, Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dan Qaseh Al-Qausar, 2, yang menetap bersama saudara lain.

Mohd Zatullah yang juga Pengasas Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina (Pujaywa) berkata, Harraz dan Azrin ditempatkan di pusat jagaan miliknya manakala Haiqal bersama ibu saudara dan tiga beradik lain berada di rumah bapa saudara di Gemas, Tampin.

“Harraz dan Azrin sering termenung dan menyendiri serta kerap menyebut nama arwah. Tambahan pula mereka berjauhan dengan adik-beradik membuatkan kesunyian itu lebih dirasai.

“Jubah peninggalan arwah yang masih disimpan dengan baik menjadi pengubat rindu hingga ada ketikanya mereka mengalirkan air mata. Ia membuatkan saya sebak melihat mereka,” katanya ketika ditemui di Pujaywa di Taman Satria, Senawang di sini, semalam.

Mohd Zatullah sentiasa meminta mereka menyedekahkan bacaan ayat suci al-Quran kepada arwah bagi meleraikan kerinduan.

Kamarul Sharizam meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas pulang daripada menunaikan umrah jam 5.05 petang sebaik tiba di hospital itu.

Dalam pada itu, Mohd Zatullah berkata, ketika ini Pujaywa menempatkan 11 anak yatim berusia antara tujuh dan 15 tahun.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak permintaan untuk menempatkan anak yatim piatu di pusat itu, tetapi menolaknya kerana ruang asrama terhad.

Katanya, mereka tiada dana untuk membesarkan asrama atau meningkatkan kemudahan sedia ada.

Disiarkan pada: December 30, 2019 @ 6:01am
d