mutakhir

Tiga 'tokan' dadah diberkas

Oleh Hamzah Osman

POLIS menahan tiga ‘tokan’ dadah dan merampas heroin dan syabu seberat 222.69 gram (g) serta wang tunai RM18,300 dalam dua serbuan berasingan di Langkawi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, semua suspek berusia antara 29 dan 45 tahun itu ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Bohor Tempoyak pada 8.45 malam, polis menahan seorang lelaki.

Ia diikuti serbuan kedua pada 10 malam di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol dan polis menahan dua lagi individu.

“Pada serbuan pertama, suspek berusia 38 tahun yang sedang menunggu pelanggan dalam sebuah bilik di rumahnya terkejut dan cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis.

“Pemeriksaan menemui 32 peket plastik lut sinar mengandungi dadah heroin seberat 100.91 g dan satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah syabu seberat 27 g atas meja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Iqbal berkata, dalam serbuan sama polis turut merampas wang tunai berjumlah RM18,300 dipercayai hasil jualan dadah.

“Dalam serbuan kedua di kawasan kebun getah di Kampung Lubuk Setol jam 10 malam, polis menahan dua lelaki berusia 29 dan 45 tahun berserta dadah heroin seberat 94.78 g.

“Dua suspek terbabit yang menjadikan kawasan kebun sebagai ‘port’ membungkus dadah turut bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun gagal meloloskan diri dari kepungan polis,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi positif morfin, selain ketiga-tiganya turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM6,200 dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 8:35am
d