arena

Djokovic, Nadal minta satukan Piala ATP, Davis

Oleh Reuters

NOVAK Djokovic dan Rafael Nadal menggesa penganjur Piala ATP dan pusingan akhir Piala Davis supaya mempertimbangkan kemungkinan untuk bergabung, menyatakan kurang wajar mempunyai dua kejohanan berpasukan lelaki dalam satu kalendar tenis.

Piala ATP, yang bermula hari ini, menampilkan 24 negara bertanding di Perth, Brisbane dan Sydney selama 10 hari buat kali pertama dan memberikan peluang kepada pemain ternama lelaki pentas terbaik untuk memanaskan badan menjelang Terbuka Australia.

Kejohanan itu bagaimanapun hadir hanya selepas enam minggu edisi sulung Piala Davis yang distruktur semula, kejohanan utama Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF), yang jelas sama dan persoalan kekal jika kedua-duanya boleh diteruskan pada masa depan.

“Kami perlu mempunyai satu kejohanan Piala Dunia Super, atau apa saja yang boleh anda panggil,” kata pemain nombor dua dunia Djokovic, yang mengetuai pemain dalam majlis ATP, pada sidang akhbar di Sydney hari ini.

“Ia tidak mungkin berlaku tahun depan... tapi jika kedua-dua pihak, ITF, Piala Davis dan ATP berbincang segera, ia mungkin boleh bermula pada 2022.

“Saya harap ia boleh berlaku kerana sukar untuk mendapatkan pemain ternama komited terhadap kedua-dua kejohanan. Selepas enam minggu, ia tidak banyak membantu dari segi pemasaran dan dari segi nilai kejohanan itu.”

Kebimbangan Djokovic dipersetujui pemain nombor satu dunia Nadal, yang menyatakan keperluan untuk bermain dua kejohanan berpasukan berturut-turut agak membingungkan.

“Bagi saya ia bukannya satu situasi ideal buat sukan ini, tapi itulah yang terjadi hari ini dan saya amat teruja jika kami boleh mengubahnya pada masa depan,” kata Nadal, yang memenangi kejuaraan Piala Davis kali kelima bersama Sepanyol, November lalu.

Disiarkan pada: January 3, 2020 @ 10:59am
d